Laman Utama

Tuesday, August 31, 2010

Ceritera 126 : MERDEKA!! MERDEKA!! MERDEKA!!


Akhirnya negara kita selamat menyambut Hari Kemerdekaan yg ke 53 tahun. Di sini penulis mengambil peluang untuk mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE -53 buat negara MALAYSIA dengan bertemakan '1Malaysia Menjana Transformasi' .


Thursday, August 26, 2010

Ceritera 125 : Jom ke Kamdar


Sempena hari raya yang akan tiba nanti, penulis sekeluarga ke Kamdar untuk membeli baju raya dan keperluan lain sebagai persiapan. Ramai para pengunjung yang datang bersama keluarga dan anak-anak atau bersama teman-teman sibuk memilih baju yang sesuai untuk dipakai di hari raya nanti terutama baju Melayu.


Para ibu pula leka memilih kain langsir, cadar kusyen, karpet dan sebagainya untuk persiapan. Di Kamdar sahaja anda boleh membeli pelbagai keperluan selain pakaian. Antaranya baju kanak-kanak dan dewasa, kain langsir, barang perhiasan, sarung bantal, cadar dan banyak lagi.



Jika anda yang belum selesai membuat persiapan dan masih tercari-cari tempat jualan, anda boleh ke Kamdar yang terletak di tengah bandar Terengganu iaitu berhampiran dengan Bank Simpanan Nasional dan Politeknik Kuala Terengganu.


Wednesday, August 25, 2010

Ceritera 124: Berbuka Puasa di Pantai Batu Burok


Sempena bulan Ramadhan ini penulis dan keluarga tidak melepaskan peluang untuk berbuka puasa di Pantai Batu Burok. Sebelum ini penulis ada menceritakan apabila tibanya bulan Ramadhan ramai pengunjung akan menikmati juadah berbuka di pantai ini samada bersama keluarga dan anak-anak serta teman-teman.



Ada yang hanya beralaskan pasir pantai dan ada juga yang membawa tikar sambil menikmati keindahan laut yang terbentang luas. Pasti berselera. Berhampiran dengan pantai ini juga terdapat bazar yang menjual pelbagai juadah berbuka, jadi jika anda tidak membawa bekalan untuk berbuka di sekitar pantai ini, anda boleh membeli di bazar terdekat.




Jika anda belum pernah datang ke sini, apa kata hari ini anda sekeluarga berbuka puasa di Pantai Batu Buruk.


Tuesday, August 24, 2010

Ceritera 123 : Jom Makan Netbak

Jika anda golongan yang suka dengan netbak apa kata datang ke Terengganu. Mesti anda boleh beli dan makan netbak. Ada yang tak kenal ke dengan netbak? Buat pengetahuan, netbak adalah sejenis kuih dan kebiasaaannya banyak terdapat di sekitar Terengganu dan Kelantan.

Bentuknya kecil lebih kurang macam baulu, tapi direbus dengan air dan dicampur dengan gula. Kalau nak lebih sedap tambahkan daun pandan. Sedap dan wangi. Ada sesetengahnya rebus netbak manis tapi kalau anda tak suka manis kurangkanlah gula.



Bagi umat Islam yang sedang berpuasa anda bolehlah sajikan hidangan tambahan berbuka dengan kuih netbak. Pasti menyelerakan. Sepanjang bulan puasa, ibu penulis sudah beberapa kali masak netbak untuk dijadikan makanan tambahan semasa berbuka. Memang tak puas. Memang sekali makan lebih pada satu. Jom kita nikmati netbak.


Monday, August 23, 2010

Ceritera 122 : Tenunan Songket Asli




Songket asli Terengganu sememangnya cukup dikenali bukan setakat di dalam Semenanjung Malaysia malah sehingga di pasaran luar negara. Dengan tenunan yang cukup kemas, bahan yang berkualiti disamping pelbagai corak dan warna semestinya cantik digayakan di mana-mana sahaja dan disukai oleh si pemakai.

Selain digayakan di pentas peragaan, orang ramai yang minat untuk menggayakan songket boleh digunakan ketika majlis-majlis rasmi, majlis perkahwinan dan sebagainya. Dengan harga yang berpatutan pasti memberi kepuasan kepada anda untuk digayakan. Jadi untuk dapatkan songket asli Terengganu, jom kita ke negeri Terengganu.



Terdapat banyak kedai yang menjual songket Terengganu antaranya di Pasar Besar Kedai Payang, sekitar Rusila, sekitar bandar Kuala Terengganu dan banyak lagi. Pilihlah mana satu yang anda suka, pasti berbaloi-baloi.


Sunday, August 22, 2010

Ceritera 121 : MAYANGSARI RESORT


Mayang Sari Resort terletak di Jalan Pantai, Dungun dan kedudukannya betul-betul mengadap dengan laut dan pantai. Jadi kalau anda nak menginap di resort ini, anda tidak perlu bimbang kerana lokasinya yang strategik sememangnya mudah untuk anda sampai.

Dengan suasana pantai dan berkonsepkan ala villa amat sesuai untuk anda berehat dan bersantai bersama keluarga, sanak-saudara atau teman-teman. Pelbagai kemudahan yang disediakan di resort ini antaranya restoran, bilik mesyuarat, bilik karaoke, kolam renang, spa, aktiviti bersukan dan sebagainya.



Aktiviti sampingan yang anda boleh lakukan ialah seperti berkelah di pantai, menyelam di Pulau Tenggol, jungle trekking di Bukit Bauk, bermain golf dan pelbagai lagi. Semuanya berdekatan dengan resort ini jadi senang untuk anda melakukan aktiviti-aktiviti ini.

Resort ini juga sentiasa menjadi tumpuan samada pihak sekolah, badan kerajaan atau swasta melakukan aktiviti seperti kem motivasi, bengkel, seminar, mesyuarat, hari keluarga, dan sebagainya. Tidak ketinggalan dengan menawarkan promosi hebat sepanjang tahun.


Jadi jika anda berkesempatan atau masih tercari-cari destinasi mana yang ingin anda tuju, penulis sarankan datanglah ke MayangSari Resort. Anda boleh melayari laman web Mayang Sari Resort untuk mengetahui maklumat lebih terperinci.


Saturday, August 21, 2010

Ceritera 120 : Keunikan Masjid Hiliran




Masjid Hiliran juga merupakan salah satu masjid tertua dan mempunyai sejarah silamnya yang tersendiri. Masjid ini terletak di Jalan Hiliran Kuala Terengganu iaitu jalan menuju ke pusat bandar. Buat pengetahuan, masjid ini ketika dahulu pernah dijadikan sebagai sekolah Arab yang pertama diwujudkan di negeri ini.

Masjid ini juga mempunyai keunikannya dengan kewujudan sebuah perigi yang dikenali sebagai Telaga Mandi Gajah Putih dipercayai dibina semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918) dan atap masjid ini dibina berasaskan bentuk bumbung limas potong perak iaitu salah satu seni bina Melayu terkenal.


Mengenai sejarahnya pula, berdasarkan sumber yang diperolehi, pada asalnya masjid ini dibina daripada kayu sehingga tahun 1925 iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah sebelum ia dibina semula dengan gandingan kayu, simen dan batu.


Baru-baru ini penulis sempat singgah di masjid ini untuk menunaikan solat. Tidak dinafikan masjid ini sememangnya unik dengan adanya pintu gerbang dan bangunan masjid yang dipenuhi ukiran, deretan tingkap berserta dengan warna masjid yang serba kekuningan.


Friday, August 20, 2010

Ceritera 119 : Pantai Teluk Kalong



Pantai Teluk Kalong juga merupakan salah satu pantai yang terdapat di daerah Kemaman. Jika anda dari bandar Kemaman masa perjalanan lebih kurang 20 minit. Pantai ini juga sentiasa menjadi tumpuan orang ramai seperti juga pantai-pantai lain yang ada di sekitar Terengganu. Dengan pasir pantai yang halus dan bersih, kawasan yang landai dan lapang sememangnya sesuai untuk anda sekeluarga bersama anak-anak atau teman-teman berehat dan berkelah di pantai ini.



Anda juga boleh berteduh dan berkelah di bawah pohon pokok yang ada di sekitar pantai ini. Kebetulan ketika penulis singgah di pantai ini air laut sedang surut. Jadi kelihatan ramai para pengunjung terutama golongan muda dan kanak-kanak sedang asyik mandi. Jika anda ingin bersenam di sini juga merupakan kawasan yang sesuai untuk melakukan aktiviti riadah dengan kawasan pantainya yang mendatar dan luas.




Di sekitar pantai ini juga mempunyai pelbagai kemudahan seperti gera-gerai makan, surau, tandas awam, kiosk dan pelbagai lagi. Selain itu kawasan ini juga menjadi tumpuan untuk mengadakan program atau aktiviti oleh mana-mana badan. Kalau anda yang belum pernah datang ke sini apa lagi jom kita ke Pantai Teluk Kalong.


Thursday, August 19, 2010

Ceritera 118 : Jom Makan 'Keropok Special' dan 'Popia Goreng'!!!!

Kalau anda nak tahu, kat mana nak cari 'Keropok Special' dan 'Sata Goreng', datanglah ke Keropok Sri Lekor yang terletak di Dungun, Terengganu. Kedai ini sememangnya terkenal dengan keropok dan sata goreng yang begitu enak dan lain daripada yang lain. Buat pengetahuan kedai ini terletak berhampiran dengan sebuah simpang untuk ke Pantai Teluk Lipat, Dungun.


Keropok goreng yang dijual di kedai ini sememangnya sedap apatah lagi dimakan ketika masih panas. Keropok yang dijual adalah sepenuhnya isi ikan. Itulah yang membuatkan ramai yang meminati keropok yang dijual di kedai ini. Rasanya juga lain daripada keropok-keropok yang ada di sekitar Terengganu.

Penulis juga yakin mesti ramai yang tak pernah makan sata goreng. Kebiasaannya sata yang banyak dijual samada di pasar-pasar ialah sata yang dibakar tetapi sata di kedai ini amat berbeza dan istimewa. Yang bezanya ialah sata yang biasa dijual intinya dibalut dengan daun pisang dan dibakar tetapi sata yang dijual di kedai ini intinya dibalut dengan kulit popia dan digoreng. Memang sedap. Tak terkata.

Jika anda membelinya sudah tentu disertakan pencicah untuk menambah selera anda menjamu sata goreng. Selain itu, kedai ini juga menjual keropok segera, sata segera, pencicah, keropok keping dan banyak lagi. Jualan kedai ini juga amat laris dan kalau anda datang lewat pasti tak berpeluang untuk membeli dan merasa keropok dan sata goreng yang dijual di kedai ini.

Jadi kalau anda nak kelainan apa kata cuba rasa keropok dan sata goreng yang dijual di kedai ini. Pasti berbaloi-baloi. Harganya pun murah-murah. Sedap dan menyelerakan.


Tuesday, August 17, 2010

Ceritera 117 : Nikmati hidangan di Dungun Kopitiam


Kalau anda berkunjung ke Dungun, Terengganu, jangan lupa singgah di Dungun Kopitiam yang terletak di Sura Gate Dungun. Lokasinya yang strategik iaitu di tengah bandar pasti memudahkan anda untuk datang ke kedai ini. Dungun Kopitiam ini sememangnya sentiasa penuh dengan para pengunjung dari pelbagai golongan terutama golongan muda dan dewasa.

Kalau anda nak tahu, masakan dan hidangan yang disajikan di kedai ini sememangya berbeza daripada kedai-kedai lain yang ada di sekitar bandar Dungun. Apa yang menariknya? Tentulah dengan persekitaran dalaman yang selesa dan menarik malah tidak ketinggalan menu-menu yang disediakan.

Antara menu-menu menarik di kedai ini ialah kopi, mee bandung, nasi lemak, nasi dagang, nasi minyak, masakan panas dan seafood serta yang paling digemari ialah roti bakar. Boleh dikatakan semua sajian yang disediakan sedap dan menyelerakan. Setiap sajian yang disediakan mempunyai keistimewaan tersendiri. Jadi, jangan lupa singgah. Pasti anda berpuas hati. Semuanya sedap-sedap. Kalau tak percaya cubalah datang ke kedai Kopitiam Dungun.



Sunday, August 15, 2010

Ceritera 116 : Festival AidilFitri 2010

Buat pengetahuan anda semua, satu festival sedang rancak berlangsung iaitu Festival AidilFitri 2010 yang diadakan di Terengganu Trade Center (TTC), Kuala Terengganu. Festival ini diadakan sempena Hari Raya yang bakal menjelang tidak lama lagi. Festival ini bermula pada 11 Ogos - 10 September 2010 dari jam 10pg sehingga 10 mlm.





Pelbagai barangan dijual antaranya ialah pakaian wanita, pakaian lelaki, pakaian kanak-kanak, tudung , selendang, kasut, aksesori wanita, aksesori lelaki, kuih raya, kurma, baju melayu dan banyak lagi. Jika anda datang ke Terengganu jangan lepaskan peluang untuk membeli belah sempena AidilFitri yang bakal tiba nanti. JOM KITE GI !!!!!