Laman Utama

Monday, July 12, 2010

Ceritera 96 : Pantai Air Tawar

Kalau anda bercuti ke Terengganu, apatah lagi jika ke daerah Besut jangan lupa ke Pantai Air Tawar untuk berehat dan berkelah bersama keluarga atau rakan-rakan. Kawasan peranginan ini sentiasa dikunjungi oleh orang ramai samada penduduk tempatan atau pelancong luar. Kawasannya yang lapang dan bersih memberi keselesaan dan kemudahan kepada para pengunjung untuk berehat dan bersantai di pantai ini.


Selain berkelah, para pengunjung juga dapat melakukan aktiviti seperti bermandi-manda. Antara kemudahan yang ada di sekitar kawasan ini ialah seperti taman permainan, pondok rehat dan gerai makanan. Jika anda datang dari jauh, anda boleh menginap mana-mana resort, chalet dan hotel yang berdekatan.


Untuk pengetahuan, pada setiap tahun lokasi ini juga sentiasa diadakan Pesta Kebudayaan dan Keseniaan. Kalau rasa nak berkelah di tepi pantai, nak mandi atau nak rehatkan fikiran, jangan lupa untuk ke Pantai Air Tawar di Besut, Terengganu.


Sunday, July 11, 2010

Ceritera 95 : Festival Shuffle 1Malaysia




Kepada penggemar tarian shuffle, anda boleh datang berkunjung ke Taman Awam Batu Buruk Kuala Terengganu untuk menyertai atau menonton pertandingan shuffle. Di samping itu terdapat beberapa aktiviti lain iaitu persembahan artis, pertandingan karaoke dan cabutan bertuah khas untuk para pengunjung.

Festival ini bermula pada 23 sehingga 24 Julai 2010 dari jam 10pagi - 11.30 mlm. Jangan lepaskan peluang ini. Datanglah beramai-ramai ke Festival Shuffle 1Malaysia negeri Terengganu.


Saturday, July 10, 2010

Ceritera 94 : Air Terjun Belukar Bukit




Air Terjun Belukar Bukit terletak di Hulu Terengganu. Jika para pengunjung ingin datang ke sini anda boleh melalui jalan Ajil terus masuk simpang ke Bukit Diman dan anda juga boleh melalui jalan ke Air Terjun Sekayu. Jarak dari Kuala Terengganu lebih kurang 60km dan dari Kuala Berang lebih kurang 20km.



Kawasannya yang landai, luas dan air yang tenang sememangnya sesuai untuk anda sekeluarga atau bersama rakan-rakan memilih lokasi ini untuk berkelah dan berehat bersama-sama. Selain bermandi-manda anda boleh berbarbeku dan menikmati hidangan beralaskan tikar atau pasir bersih. Antara kemudahan yang disediakan ialah tempat meletak kenderaan, wakaf atau pondok rehat, surau dan tandas serta tidak ketinggalan gerai-gerai makanan.



Di sekitar kawasan ini juga sentiasa diadakan acara atau program seperti berakit berkayak, berkhemah, bergotong-royong dan banyak lagi. Jadi anda yang belum pernah menjejak kaki ke Air Terjun Belukar Bukit, jangan bazirkan masa cuti anda. Isilah masa untuk menikmati suasana di Air Terjun Belukar Bukit.


Ceritera 93 : Taman Rekreasi Bakau Tinggi

Taman Rekreasi Bakau Tinggi terletak di Chukai, Kemaman laluan dari bandar Kemaman-Terengganu. Lebih jelas lagi di taman ini terdapat beberapa replika mata kail yang melambangkan tempat kegemaran kaki pancing. Lokasinya yang berdekatan dengan Sg. Kemaman menjadikan ia salah satu tempat yang menjadi tumpuan kaki pancing untuk mencuba nasib di taman ini.




Antara yang paling menarik di sekitar taman ini ialah aktiviti jualan ketam yang sentiasa mendapat tumpuan orang ramai yang datang berkunjung ke sini. Taman ini dinamakan Taman Rekreasi Bakau Tinggi kerana di sekitarnya dipenuhi pokok paya bakau malah disediakan laluan untuk keselesaan dan kemudahan untuk para pengunjung melihat pokok paya bakau disekelilingnya dengan lebih jelas lagi.



Selain itu kemudahan yang terdapat di taman ini ialah antaranya restoran terapung, taman permainan, pondok rehat, bangku, bilik rehat, tandas awam dan gerai makanan. Kalau anda ingin berehat sambil menimati pemandangan Sg. Kemaman, melihat pokok paya bakau dan memancing bolehlah datang ke sini terutamanya pada petang hari atau hujung minggu.


Friday, July 9, 2010

Ceritera 92 : Menawan Gunung Tebu

Kalau anda gemar melakukan aktiviti mengembara ataupun mendaki bolehlah ke Gunung Tebu yang terletak di Setiu. Gunung Tebu adalah kemuncak paling tinggi di negeri ini dengan ketinggian kira-kira 1,039 meter (m) dari paras laut.

Dengan keunikan bentuk muka buminya, ramai pendaki tempatan malah luar negara tidak melepaskan peluang untuk meneroka gunung ini. Untuk ke Gunung Tebu, anda bolah ke Hutan Lipur Lata Belatan, Setiu. Dan jarak dari Pekan Jertih ialah 24km dan dari Kuala Terengganu lebih kurang 118km.



Gunung Tebu sering menjadi tumpuan pendaki tempatan yang kerap mengadakan kembara berkumpulan antaranya dari kalangan persatuan-persatuan, pelajar-pelajar sekolah, ipta, kakitangan kerajaan atau swasta malah ada beberapa agensi pelancongan menawarkan pakej ekspedisi menawan puncak Gunung Tebu. Kebiasaannya mendaki gunung ini memakan masa antara dua atau tiga hari.




Mereka yang ingin mendaki gunung Tebu akan menjalani pemeriksaan rutin dan diberikan taklimat oleh pegawai Jabatan Perhutanan sebelum memasuki hutan. Setiap peserta perlu memiliki pas yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan dengan bayaran RM5. Dari puncak gunung ini, anda boleh melihat pemandangan seperti Laut China Selatan, Pulau Perhentian dan Pulau Redang.

Sambil meneroka gunung ini anda boleh melihat pelbagai khazanah dan spesis tumbuhan yang wujud di sekelilingnya. Anda yang sukakan cabaran dan aktiviti lasak bolehlah ke Gunung Tebu yang terletak di Terengganu. Jika anda belum pernah ke gunung ini, mulakan perancangan anda dari sekarang.

Ceritera 91: Pantai Teluk Mak Nik


Di Kemaman terdapat beberapa pantai yang sentiasa menjadi tumpuan orang ramai untuk berehat dan berkelah bersama keluarga atau rakan-rakan dan salah satunya ialah Pantai Teluk Mak Nik atau dikenali sebagai D'Monica Bay. Jarak dari Kuala Terengganu kira-kira 150km untuk sampai ke pantai ini. Pantai Teluk Mak Nik di sini merupakan sebuah pantai peranginan yang begitu sesuai bagi anda yang ingin mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

Pantai ini sentiasa menjadi pilihan pengunjung untuk berkelah dan beriadah bersama keluarga atau rakan-rakan walaupun ombak bergelora pada musim tengkujuh untuk menikmati suasana pantai yang mendamaikan.

Pantai ini tidak lekang daripada pengunjung apatah lagi pada cuti sekolah dan hujung minggu. Sambil berehat dan bersantai di pantai ini, ada juga sesetengah pengunjung mengadakan hari keluarga ataupun berkumpul bersama keluarga atau rakan-rakan sambil menikmati hidangan barbeku.

Selain kawasan pantai yang luas dan bersih, terdapat banyak kemudahan lain yang disediakan untuk para pengunjung seperti pondok rehat untuk berteduh. Pantai ini juga pernah menjadi lokasi penganjuran acara Sukma 2008 malah sentiasa menjadi tumpuan kakitangan kerajaan atau swasta untuk mengadakan acara atau majlis seperti pertandingan bola sepak pantai dan bola tampar pantai , persembahan Kelab Motorcross selain acara memancing. Kali ini apa kata anda sekeluarga atau rakan-rakan memilih Pantai Teluk Mak Nik, Kemaman untuk berkelah dan menikmati pemandangan di sini.


Ceritera 90 : Di Sebalik Batu Bersurat


Batu Bersurat Terengganu dianggarkan telah berusia lebih kurang 700 tahun adalah merupakan batu bersurat yang mempunyai ukiran paling tua dan tulisan jawi pertama yang dijumpai di Malaysia sekaligus membuktikan Islam telah datang ke Terengganu sebelum 1326 atau 1386. Batu ini ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut di tebing Sungai Tersat di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada tahun 1899.


Memorial Batu Bersurat telah ditempatkan di Kampung Buluh, Hulu Terengganu. Ia dibangunkan sebagai suatu peringatan tempat penemuan Batu Bersurat. Anda boleh ke sana untuk melihat keunikan batu bersurat tersebut dan mengetahui dengan lebih lanjut asal-usul batu bersurat tersebut. Secara langsung anda boleh melihat dan membaca keterangan yang terkandung pada batu bersurat tersebut.


Apabila anda datang berkunjung ke bandar Terengganu juga kelihatan di bulatan Ladang ditempatkan replika batu bersurat sebagai mercu dan lambang penemuannya di negeri Terengganu. Jadi nak tengok sendiri, datanglah Ke Terengganu.