Laman Utama

Monday, May 31, 2010

Ceritera 21 : Bermalam di Awang's Beach Resort


Sebelum ini penulis banyak menceritakan mengenai tempat-tempat yang patut dikunjungi oleh anda semua di sekitar daerah Dungun. Semestinya anda semua ingin tahu dimanakah tempat yang sesuai untuk menginap apabila bercuti di daerah Dungun? Yang pasti banyak tempat penginapan disediakan untuk para pengunjung samada hotel, apartment, motel, homestay, chalet atau resort. Para pengunjung boleh memilih mana-mana yang sesuai mengikut kehendak dan citarasa masing-masing.


Di sini penulis ingin berkongsi pengalaman menginap dan bercuti di Awang's Beach Resort bersama keluarga. Walaupun penulis berasal dan tinggal di Dungun, tetapi penulis tidak melepaskan peluang untuk merasai sendiri keseronokan berada di Awang's Beach Resort ini. Ia terletak di Rantau Abang, Dungun dan tidak jauh dari bandar Dungun.


Buat pengetahuan, sudah tiga kali penulis dan keluarga menginap disini. Mungkin anda fikir ia membosankan tetapi bagi penulis sendiri pengalaman berada di sana amat menyeronokkan dan tiada kepuasan apabila berkunjung ke sini sekali sahaja. Pada kunjungan pertama dan kedua ke resort ini kerana penulis sekeluarga mengikut ayah penulis mengetuai kem motivasi pelajar sekolah. Di kesempatan ini kami sekeluarga tidak melepaskan peluang untuk berehat dan bercuti ke sini. Dan kunjungan kali ketiga ialah kerana kami sekeluarga belum puas untuk menikmati suasana di sini.


Tiap kali kunjungan penulis sekeluarga akan menginap rumah tumpangan yang menghadap laut. Itulah yang paling menyeronokkan kerana setiap kali keluar rumah sudah pasti para pengunjung dapat melihat pemandangan laut luas terbentang sambil menghirup udara. Di sini juga disediakan ruang atau tempat untuk membakar ikan dan seumpamanya, pondok-pondok rehat dan padang bola tampar dan bola sepak pantai.


Penulis dan keluarga juga tidak melepaskan peluang untuk bermandi-manda di pantai ini. Pada waktu petang para pengunjung boleh melihat perahu atau bot naik ke darat dengan membawa hasil tangkapan dan para pengunjung boleh membelinya sekaligus boleh dibakar untuk dijadikan menu makan malam.
Apabila tibanya waktu malam penulis sekeluarga akan bersantai sambil menghirup udara dan melihat pemandangan laut. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sekitar resort ini dengan tempat yang luas dan mendamaikan.


Saturday, May 29, 2010

Ceritera 20 : Pasar Malam Dungun, Wajib Singgah


Di sekitar Terengganu boleh dikatakan setiap pelosok bandar dan kampung semestinya ada pasar malam dan salah satunya ialah di bandar Dungun. Ia diadakan pada setiap minggu setiap hari Khamis berhampiran Pejabat Pos Dungun. Rutin bagi keluarga penulis apabila ke bandar Dungun pada hari Khamis semestinya singgah di pasar malam ini. Bagi pendapat penulis pasar malam ini adalah terbesar di sekitar daerah Dungun.




Terdapat banyak gerai-gerai di pasar ini termasuk pakaian, kasut, barangan keperluan, buah-buahan dan makanan. Pelbagai jenis makanan dijual disini termasuk kuih-muih, lauk-pauk dan sebagainya. Adakalanya apabila penulis datang ke sini sehinggakan rabun mata dan keliru apa juadah yang harus dibeli kerana terlalu banyak pilihan yang ada disini. Tetapi penulis bukan balik dengan tangan kosong malah semestinya juadah wajib bagi penulis ialah membeli sate kegemaran dan air kelapa (coconut shake). Amat menyelerakan dan sungguh enak dimakan.


Dengan harga yang murah membuatkan para pengunjung tidak akan terlepas untuk membeli pelbagai jenis makanan dan keperluan lain. Jadi apa lagi hitunglah jari anda bermula dari saat ini untuk menanti hari Khamis yang akan datang supaya anda tidak terlepas untuk singgah ke sini.


Friday, May 28, 2010

Ceritera 19 : Jom Kita ke Hutan Lipur Lata Belatan


Hutan Lipur Lata Belatan atau secara ringkasnya lebih dikenali Lata Belatan terletak di Hutan Simpan Gunung Tebu iaitu di Kg. Kuala Kubang, Jabi, Jerteh. Jarak dari bandar Kuala Terengganu ialah 118km dan dari bandar Jertih ialah 24km. Anda yang tidak mempunyai kenderaan sendiri juga boleh menggunakan perkhidmatan awam seperti teksi atau bas. Kawasannya yang luas ini mempunyai pelbagai spesis flora dan fauna serta air terjun yang begitu cantik dan mendamaikan.


Di hutan lipur ini juga merupakan tempat berkumpul untuk memulakan pendakian Gunung Tebu. Yang pasti pelbagai cabaran akan anda tempuhi untuk sampai ke puncak gunung ini dan ini akan memberi pengalaman yang menyeronokkan kepada anda yang minat dengan aktiviti pendakian. Anda semua boleh membawa keluarga dan anak-anak untuk berkelah dan bermandi-manda di sini.



Di sini terdapat kawasan landai yang sesuai untuk anak-anak mandi-manda dan tempat -tempat lain yang lebih menarik. Dengan air yang jernih dan sejuk akan membuatkan anda leka sehingga tiada perasaan mahu pulang. Itulah keistimewaan tempat ini. Anda semua tidak perlu bimbang kerana disini juga disediakan chalet untuk para
pengunjung, tapak perkhemahan, gerai makan dan kemudahan lain seperti bilik persalinan dan surau.




Penulis dan keluarga juga sudah beberapa kali berkunjung ke sini untuk berkelah dan mandi-manda. Sememangnya ia menyeronokkan sehingga tidak sedar waktu berlalu dengan cepat kerana terlalu leka berkelah dan mandi-manda.


Hutan Lipur ini juga tidak lekang dikunjungi oleh para pengunjung samada yang datang dari jauh atau dekat. Kebanyakkan juga adalah daripada rombongan pelajar sekolah atau universiti samada dari Terengganu atau negeri lain kerana kebiasaannya mereka mengadakan aktiviti pendakian dan perkhemahan di sini. Begitulah tarikan yang ada di Hutan Lipur Lata Belatan.


Ceritera 18 : Jangan lupa ke Terengganu Equestrian Resort (TER)


Terengganu Equestrian Resort atau TER juga terletak di Kuala Ibai dan berhampiran dengan Masjid Tengku Tengah Zaharah atau Masjid Terapung. TER yang dibina berhampiran muara Sg. Ibai dan menghadap Laut China Selatan sememangnya menepati citarasa para pengunjung.

Pelbagai kemudahan disediakan disini dan salah satunya ialah Kompleks Sukan. Kompleks Sukan ini menyediakan kemudahan seperti bowling, dewan badminton, gimnasium dan aerobik, gelanggang skuasy, kolam renang, trek berkuda dan banyak lagi.

Kemudahan utama lain ialah Rumah Kelab, penginapan dan Ekuestrian dan Polo. Di sini juga terdapat restoran yang menyediakan pelbagai jenis makanan tempatan dan barat. Apabila berkunjung ke sini, para pengunjung tidak perlu bimbang kerana di sini segala-galanya ada.


Pengunjung yang ingin bercuti bersama keluarga tersayang bolehlah memilih TER sebagai destinasi seterusnya. Dengan adanya pelbagai kemudahan sukan selain berehat bersama keluarga para pengunjung boleh mengisi masa dengan melakukan aktiviti berkuda. Aktiviti berkuda sememangnya amat popular di sini. Para pengunjung juga boleh mengikuti bengkel menunggang kuda dengan bayaran yang berpatutan.

Selain itu, para pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti riadah seperti berjoging sambil menghirup udara segar, berkayak dan memancing. Di sini juga pernah diadakan Pesta Terengganu 2009.Terdapat pelbagai jualan dan pameran sepanjang pesta ini berlangsung seperti jualah kraftangan, batik dan pertandingan kereta. Yang pasti percutian anda ke sini berbaloi-baloi kerana pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan.


Ceritera 17 : Berehat di Lagun Kuala Ibai




Lagun Kuala Ibai ini terletak berhampiran dengan Masjid Tengku Tengah Zaharah atau Masjid Terapung. Lagun ini sentiasa penuh dengan kunjungan orang ramai terutamanya di sebelah petang. Terdapat banyak pondok rehat dan taman permainan yang disediakan untuk para pengunjung. Untuk berehat dan bersiar-siar bersama keluarga, anda bolehlah datang ke lagun ini sambil melihat keindahan laut dan menghirup udara segar. Rugi jika anda tidak singgah ke sini apabila berkunjung ke negeri Terengganu.




Kawasan ini juga dijadikan tempat kegemaran para pemancing. Apa yang paling dinantikan oleh penulis apabila tibanya air laut surut. Ramai orang berpusu-pusu turun untuk bermandi-manda dan ada juga yang menjala. Pemandangan lagun ini juga boleh dilihat dari jauh apabila para pengunjung melalui jambatan Kuala Ibai untuk ke pusat bandar.


Lagun ini juga biasanya dijadikan tempat pengumpulan ahli keluarga untuk melakukan sebarang aktiviti seperti Hari Keluarga. Aktiviti seperti ini boleh mengeratkan hubungan kita sesama insan. Apa tunggu lagi. Isilah masa anda dengan berkunjung ke lagun ini.


Ceritera 16 : Satu-satunya Masjid Terapung "Masjid Tengku Tengah Zaharah"




Masjid ini lebih dikenali sebagai Masjid Terapung merupakan salah satu masjid yang paling unik di sekitar Terengganu. Ia terletak di Kuala Ibai dan 4km dari pusat bandar. Bagi penulis masjid ini memang unik dan cantik dengan senibinanya dan bertapak di pelantar terapung. Lain daripada yang lain. Sebelum sampai ke pintu masuk utama masjid ini, sudah pasti para pengunjung akan melalui jambatan yang berada ditengah-tengah kawasan ini sambil menikmati keindahan tasik di sekitar masjid ini.


Di sekitar masjid ini juga disediakan beberapa pondok rehat dan deretan kedai cenderamata untuk para pengunjung. Kunjungan anda amat dialu-alukan.


Ceritera 15 : Singgah Sebentar di Pantai Teluk Lipat


Pantai Teluk Lipat juga terletak di daerah Dungun dan berhampiran dengan Teluk Gadong. Ia juga merupakan salah satu kawasan peranginan yang sering menjadi tumpuan orang ramai. Jalan utamanya yang bersebelahan dengan tepi pantai membuatkan para pengunjung berasa kagum melihat keindahan laut yang luas dan diselangi bunyi ombak yang mendamaikan. Di sini juga merupakan tempat kegemaran kaki pancing untuk memancing dan aktiviti menjala ikan tidak kira waktu iaitu dari awal pagi sehinggalah malam.


Setiap kali ke Dungun, sudah pasti penulis dan keluarga akan mengunjungi tempat ini samada bersantai dibawah rimbunan pokok rhu, menjamu hidangan petang seperti keropok goreng, pisang goreng dan sudah pasti dengan hidangan 'Air Batu Campur (ABC) ' yang begitu menyelerakan dengan bertemankan suasana laut sambil menghirup udara yang segar.




Di sepanjang jalan ini juga dipenuhi deretan gerai makan ataupun medan selera yang menjual pelbagai aneka makanan antaranya air kelapa, ABC, pisang goreng, keropok goreng dan sebagainya. Para pengunjung mempunyai banyak pilihan untuk memilih mana-mana gerai makan yang ada di sini dan sudah pasti semua makanan yang disediakan enak dan menyelerakan dengan harga yang murah. Terdapat juga jualan layang-layang, tempat pengumpulan bot-bot atau perahu-perahu para nelayan, jualan hasil laut dan padang bola pantai.




Kunjungan dan singgahan anda sekeluarga akan menjadi kunjungan yang bermakna dan sememangnya tidak dapat dilupakan.


Tuesday, May 25, 2010

Ceritera 14 : Melawat ke Taman Mini Zoo Kemaman


Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman adalah salah satu tempat pelancongan yang terletak di Bukit Takal, Kemaman dan jarak dari bandar Chukai,Kemaman ialah 14km. Taman ini baru dibuka setahun yang lepas iaitu pada 11 April 2009 yang dirasmikan oleh Y.A.B Dato' Ahmad Bin Said, Menteri Besar Terengganu.


Sejak daripada itu berpusu-pusu orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang mengunjungi taman mini zoo ini dengan membawa keluarga. Bayaran yang dikenakan hanya sebanyak RM5 (dewasa), RM3 (kanak-kanak) dan RM2 (pelajar). Pengangkutan bas juga disediakan untuk memudahkan orang ramai yang tiada pengangkutan untuk datang ke sini iaitu dari Stesen Bus Chukai, Kompleks Center Point (KCP) dan Awana Kijal.


Taman ini menempatkan pelbagai binatang samada binatang jinak atau liar. Antaranya ialah burung unta, beruang, burung merak, ular, memerang, harimau, gajah, monyet, rusa, kambing gurun, dan banyak lagi.


Di sini juga terdapat akuarium yang menempatkan pelbagai jenis spesis ikan antara yang menarik perhatian ialah ikan naga. Kebiasaannya pada hujung minggu terutamanya pada musim cuti sekolah taman ini sentiasa penuh dengan para pengunjung samada yang datang dari dekat atau jauh.


Di dalam taman ini juga disediakan mini bas untuk membawa pengunjung mengelilingi taman ini sambil melihat binatang-binatang yang ada di situ. Apa yang menarik dan membuatkan penulis begitu kagum dan teruja ialah jambatan gantung.

Terdapat banyak jambatan gantung yang disediakan untuk para pengunjung melihat binatang-binatang daripada atas. Di atas jambatan gantung para pengunjung boleh melihat suasana rimba dipenuhi dengan pokok-pokok dan melihat dengan lebih dekat lagi binatang-binatang yang ada di sini. Pengunjung tidak perlu binbang untuk meniti jambatan ini kerana ciri-ciri keselamatan telah diambil dan ia begitu kukuh dan selesa. Apabila berkunjung ke sini jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri keseronokan ini.

Taman ini juga disediakan sebuah Taman Tema Air untuk kanak-kanak sahaja. Bagi mereka yang membawa anak-anak bolehlah singgah ke taman tema ini untuk bersuka-ria.

Satu lagi keistimewaan taman ini ialah aktiviti bergajah. Sesiapa yang ingin merasai pengalaman menaiki gajah bolehlah datang ke taman mini zoo ini. Para pengunjung hanya dikenakan bayaran sebanyak RM20 (dewasa) dan RM10 (kanak-kanak) dan akan dibawa mengelilingi zoo ini. Yang pasti ia akan menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan.



Tarikan lain yang terdapat di Mini Zoo Kemaman ialah taman herba semulajadi, taman tumbuhan tropika, taman bonsai, taman orkid dan pelbagai jenis burung. Anda bolehlah bercuti bersama keluarga dan membawa anak-anak untuk mengisi masa dengan berkunjung ke taman mini zoo ini.

Saturday, May 15, 2010

Ceritera 13 : Petang Hari di Teluk Gadong


Teluk Gadong terletak di daerah Dungun dan ianya berhampiran dengan UiTM Dungun dan Kelab Golf Desa Dungun. Ia merupakan satu tempat rekreasi yang terletak di hujung muara Dungun. Kawasan ini adalah tempat yang sesuai untuk beriadah dan berehat bersama keluarga dan anak-anak teutamanya pada waktu petang dan hujung minggu.



Di sini juga terdapat taman permainan, gerai-gerai yang menjual minuman, keropok goreng atau pisang goreng dan restoran. Terdapat banyak pondok rehat yang disediakan untuk para pengunjung. Di sini juga terdapat satu tasik buatan yang begitu luas dan biasanya diminati oleh kaki pancing samada datang dari jauh atau dekat.




Teluk Gadong juga merupakan pilihan bagi sesetengah sekolah di sekitar Dungun untuk mengadakan acara bagi pelajar-pelajar seperti aktiviti beriadah. Dalam waktu yang sama, palajar-pelajar dapat melakukan aktiviti luar sambil bersantai dan bersosial dengan masyarakat serta mengenali tempat menarik di sekitar Dungun. Teluk Gadong ini berhampiran dengan pantai dan boleh dikatakan tiap-tiap hari tempat ini sentiasa penuh dengan para pengunjung.



Para pengunjung yang ingin berkelah sambil menikmati keindahan laut bolehlah datang ke sini bersama keluarga.



Friday, May 14, 2010

Ceritera 12 : Bazaar Warisan Seni Ukiran


Seperti yang penulis ceritakan sebelum ni Bazaar Warisan juga terletak di Jalan Sultan Zainal Abidin, Terengganu dan berhampiran dengan Kedai Besar Pasar Payang, Dataran Shahbandar dan juga Bukit Puteri. Sebelum para pengunjung ke Bukit Puteri sudah pasti anda semua akan menjejaki ke Bazaar Warisan ini. Untuk ke Bukit Puteri juga para pengunjung mestilah masuk ke bazar ni untuk ke pintu utama Bukit Puteri.


Bazaar ini sememangnya dibuka dengan beberapa deretan kedai kain sutera, barangan cenderamata dan juga pakaian. Bazar ini mempunyai 2 tingkat dan di atas bumbung bazar ini juga terdapat restoran. Para pengunjung boleh singgah ke restoran ini sambil menikmati pemandangan sungai Terengganu dan menikmati udara segar.



Pelbagai jenis kain sutera dijual di sini dengan harga yang berpatutan dan berbaloi-baloi. Di hadapan bazar ini juga terdapat beberapa pondok rehat untuk para pengunjung. Jadi para pengunjung yang ke Pasar Besar Kedai Payang atau kawasan yang berhampiran jangan lupa untuk singgah ke Bazaar Warisan ini.


Ceritera 11 : Berehat dan Bersantai di Dataran Shahbandar

Dataran Shahbandar terletak berhampiran dengan Pasar Payang, Bukit Puteri dan Bazar Warisan. Setelah penat membeli belah anda semua bolehlah datang ke sini untuk berehat bersama keluarga tidak kira samada siang atau pun malam. Sambil berehat dan melapangkan fikiran anda boleh menikmati keindahan sungai Terengganu yang penuh dengan bot-bot dan perahu-perahu dengan angin yang bersepoi-sepoi.



Di sini terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan untuk para pengunjung antaranya ialah gerai atau kedai makan, bangku, pondok rehat dan surau. Di samping itu sebuah pusat membeli belah juga ada berhampiran dengan taman ini iaitu dikenali sebagai 'ASTAKA'. Jadi para pengunjung bolehlah singgah untuk membeli-belah di sini.

Buat pengetahuan semua di taman ini pelbagai karnival pernah diadakan seperti Karnival Sua Rasa TV9, Ekspo Barangan, Konsert Monsoon Cup Kick Off, SIRI Jelajah Promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Gempak Astro, Bazar Ramadhan dan lain-lain lagi.

Di sini juga terdapat satu jeti yang dikenali Jeti Shahbandar. Daripada jeti ini para pengunjung boleh menaiki bot penambang untuk pergi ke destinasi-destinasi berhampiran seperti Pulau Wan Man, Pulau Duyung, Pulau Redang, Taman Tamadun Islam dan banyak lagi. Bayaran yang dikenakan murah dan bersesuaian dengan destinasi yang ingin kita tuju.

Dengan adanya perkhidmatan ini orang ramai yang tiada pengangkutan untuk ke destinasi yang disebutkan tadi atau yang ingin mengelakkan daripada kesesakan lalu lintas bolehlah ke jeti ini untuk memudahkan kunjungan. Di samping itu juga para penumpang berpeluang menikmati pemandangan bandar Kuala Terengganu dan kejernihan sungai Terengganu. Apa yang pasti anda akan berpuas hati dan akan mengingati pengalaman ini sebagai satu pengalaman yang menyeronokkan.