Laman Utama

Thursday, May 13, 2010

Ceritera 6 : Menikmati Keropok Losong


Pada kali ini penulis akan menceritakan serba sedikit keistimewaan satu kawasan yang terletak tidak jauh dari Pusat Bandar yang dinamakan sebagai Losong. Apabila terdengar sahaja nama Losong anda semua pasti dapat meneka apa yang ada di tempat ini. Sudah tentu 'Keropok Lekor'.



Apabila melancong ke negeri ini, anda wajib singgah ke sini untuk membeli keropok sebagai ole-ole untuk keluarga dan kepada yang belum pernah ke negeri ini singgahlah ke sini untuk menikmati juadah ini. Bagi penulis sendiri walaupun dari kecil sehingga di usia sekarang tinggal di Terengganu tetapi penulis sentiasa menjadikan keropok sebagai juadah yang tidak dapat dilupakan dan ditinggalkan. Boleh dikatakan tiap-tiap kali pergi ke pusat bandar amalan wajib bagi keluarga penulis adalah singgah di Losong untuk membeli 'Keropok Lekor'.



Boleh dikatakan sepanjang kawasan ini tidak kira seberang kiri atau kanan jalan sentiasa dipenuhi pelbagai kedai keropok antaranya Zah (Zan) Keropok Lekor, Kak Yah Keropok Lekor, Adik-beradik Keropok Lekor dan banyak lagi. Anda boleh pilih mana satu yang menjadi pilihan hati, yang pasti semua kedai yang ada di situ menjual keropok lekor yang begitu sedap, enak dan masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri. Yang dijual bukan sahaja keropok lekor malah ada juga keropok keping, makanan tambahan seperti sira keropok, makanan kering dan sos keropok.



Ada suatu ketika penulis begitu teringin untuk merasa dan menikmati keropok dari Losong ini dan mengajak keluarga untuk ke sini membeli keropok. Sampai sahaja di sana penulis terus menuju ke satu kedai keropok yang memang menjadi kedai kegemaran penulis dan keluarga. Tetapi pada masa tersebut pelanggan yang datang untuk membeli keropok terlalu ramai sehinggakan penulis tidak nampak bayang-bayang para penjual dan makanan yang dijual. Dengan keinginan yang begitu meluat-luat untuk makan keropok penulis bersabar dan menanti giliran. Boleh dikatakan hampir satu jam barulah penulis dapat membeli keropok yang diingini. Begitulah pengalaman penulis untuk membeli keropok kerana bagi penulis rugi jika tidak membeli keropok dari Losong ini.

Buat pengetahuan, keropok lekor bukan sahaja dijual di Losong, malah boleh dikatakan di seluruh kawasan di sekitar Terengganu popular dengan jualan keropok lekor kerana ia lain daripada yang lain.

No comments:

Post a Comment