Laman Utama

Friday, May 14, 2010

Ceritera 10 : Pelbagai Barangan di Pasar Besar Kedai Payang


Pasar Besar Kedai Payang atau lebih dikenali 'Pasar Payang' terletak di Jalan Sultan Zainal Abidin yang berhampiran dengan Sg. Terengganu dan juga Bazar Warisan, Bukit Puteri dan Jeti Shahbandar. Pasar Payang ini adalah mercu dan pusat niaga yang terkenal di Terengganu. Pasar ini tidak lekang daripada para pengunjung tidak kira daripada warga Terengganu sendiri ataupun para pelancong dari luar negeri dan luar negara.

Pasar Payang ini menjual pelbagai aneka barangan untuk para pengunjung dan paling terkenal ialah kain sutera. Bagi penulis sendiri pilihan yang terbaik untuk membeli barangan ialah di Pasar Payang. Antara barangan yang dijual ialah pakaian, kain sutera, batik, songket Terengganu, tembaga, keropok, hiasan, cenderamata, alatan dapur, hasil laut, sayur-sayuran, kuih-muih, buah-buahan, makanan ringan, barang runcit dan banyak lagi. Di sini juga terdapat deretan kedai emas, kedai makan dan restoran untuk para pengunjung.



Tempatnya yang strategik lebih memudahkan para pengunjung berkunjung ke sini dengan disediakan kemudahan tempat letak kenderaan yang ada di dalam bangunan pasar ini. Jadi para pengunjung tidak perlu bersusah payah untuk mencari 'parking' kerana di sini semuanya disediakan. Apabila ada suatu sambutan atau musim buah-buahan, pasar ini juga mengadakan jualan besar-besaran seperti jualan buah-buahan, kuih raya, kurma dan sebagainya. Harganya amat berpatutan dan murah.

Di sini juga terdapat kemudahan pengangkutan beca untuk para pengunjung. Para pengunjung yang ingin pergi ke mana-mana di sekitar kawasan bandar negeri ini seperti ke Stesen Bas, atau Dataran Shahbandar bolehlah menggunakan perkhidmatan ini. Harga tiket yang dikenakan amat murah dan berbaloi. Untuk pengetahuan semua pengangkutan beca juga merupakan satu keistimewaan negeri ini. Sejak dulu sehingga sekarang ia masih digunakan dan amat popular di negeri ini.


Anda yang belum berkunjung ke Terengganu atau yang sudah berkunjung ke Terengganu tetapi belum pernah datang ke Pasar Payang, jangan lepaskan peluang yang ada untuk membeli-belah terutama sekali kain sutera, batik atau songket asli dari Terengganu dan juga cenderamata untuk dibawa pulang.


No comments:

Post a Comment