Laman Utama

Wednesday, May 12, 2010

Ceritera 5 : Melihat Keindahan Dengan Menaiki TTI River Cruise


Seperti yang diceritakan sebelum ini di Taman Tamadun Islam (TTI) juga menyediakan satu aktiviti yang dikenali sebagai TTI River Cruise. Apa itu TTI River Cruise? Untuk pengetahuan anda TTI River Cruise adalah satu perkhidmatan bot yang disediakan oleh TTI untuk memuaskan hati para pengunjung dengan merasai keindahan dan pemandangan dengan menyesuri sungai Terengganu. Bayaran yang dikenakan hanya RM1o bagi setiap seorang. Apabila anda berkunjung ke TTI, jangan lepaskan peluang ini untuk menaiki TTI River Cruise. Anda tidak akan menyesal dan akan merasa betapa seronoknya menaiki TTI River Cruise ini.

Jeti TTI River Cruise

Anda tidak perlu bimbang kerana ciri-ciri keselamatan telah pun dititikberatkan. Terdapat lebih daripada 3 buah bot disediakan untuk para pengunjung menikmati pemandangan dan melihat aktiviti-akiviti yang dijalankan di sepanjang sungai tersebut.


TTI River Cruise Map

Di sini penulis ingin berkongsi sedikit pengalaman apabila menaiki TTI River Cruise. Buat pengetahuan semua sebanyak 2 kali penulis telah mencuba menaiki bot TTI River Cruise. Kali kedua mencuba adalah kerana sebelumnya penulis masih tidak berpuas hati untuk menghirup udara dan menikmati keindahan sungai tersebut.

Salah satu kapal dan bot yang ada

Pertama kali menaiki bot ini walaupun begitu teruja tetapi perasaan takut dan cemas dalam diri masih tidak hilang. Sebenarnya buat pengetahuan anda semua penulis masih belum hilang perasaan gugut ketika menaiki bot walhal sudah berpuluh-puluh kali menaiki bot. Tetapi kerana kesungguhan untuk merasai sendiri menaiki bot ini penulis gagahi diri untuk meneruskan perjalanan. Sepanjang perjalanan penumpang ditemani oleh dua orang pekerja. Mereka bertindak sebagai pengawal bot dan memberi penerangan mengenai perkara-perkara yang ada di sepanjang sungai tersebut.

Pembuatan Kapal

Boleh dikatakan sepanjang sungai tersebut banyak kawasan yang dijadikan pangkalan bagi nelayan untuk meletakkan perahu dan bot mereka untuk menaikkan hasil tangkapan ke darat untuk dijual. Malah kapal juga begitu banyak kelihatan di sepanjang sungai tersebut.

Bangunan FELDA dan Riyaz Heritage

Disepanjang perjalanan tersebut penumpang juga boleh melihat keindahan dan pemandangan dari jauh antaranya Pelabuhan Kemajuan Ikan, Pulau Api, Riyaz Heritage yang terletak di Pulau Duyong, bangunan FELDA yang bagi penulis begitu unik dan kreatif rekaannya dan Hotel Seri Malaysia. Dari sini juga penumpang boleh melihat satu kawasan yang sibuk dengan pembuatan kapal tidak kira yang sederhana atau besar. Kebetulan ketika penulis menaiki bot ini, mereka sedang menyiapkan sebuah kapal yang amat besar. Penulis begitu kagum dan berfikir sejenak betapa banyaknya kesabaran dan kemahiran yang diperlukan untuk menyiapkan sebuah kapal yang begitu besar ini.

Pengkalan Keropok Losong dan Pulau Duyung


Buat pengetahuan semua, para penumpang akan melalui dibawah jambatan Sultan Mahmud dan pada masa itu penulis begitu teruja kerana penulis terfikir kebiasaannya penulis akan melalui di atas jambatan tersebut tetapi kali ini berada di bawah jambatan. Dibawah jambatan itu juga terdapat satu pengkalan yang dinamakan Pengkalan Keropok Losong. Ia dijadikan sebagai tempat menaikkan ikan-ikan untuk dijadikan keropok. Begitulah serba sedikit mengenai pengalaman penulis ketika menaiki TTI River Cruise. Kepada sesiapa yang singgah DI Taman Tamadun Islam (TTI) jangan lupa untuk menaiki TTI River Cruise. Anda akan merasa kepuasannya.


No comments:

Post a Comment