Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman adalah salah satu tempat pelancongan yang terletak di Bukit Takal, Kemaman dan jarak dari bandar Chukai,Kemaman ialah 14km. Taman ini baru dibuka setahun yang lepas iaitu pada 11 April 2009 yang dirasmikan oleh Y.A.B Dato' Ahmad Bin Said, Menteri Besar Terengganu.

Sejak daripada itu berpusu-pusu orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang mengunjungi taman mini zoo ini dengan membawa keluarga. Bayaran yang dikenakan hanya sebanyak RM5 (dewasa), RM3 (kanak-kanak) dan RM2 (pelajar). Pengangkutan bas juga disediakan untuk memudahkan orang ramai yang tiada pengangkutan untuk datang ke sini iaitu dari Stesen Bus Chukai, Kompleks Center Point (KCP) dan Awana Kijal.

Taman ini menempatkan pelbagai binatang samada binatang jinak atau liar. Antaranya ialah burung unta, beruang, burung merak, ular, memerang, harimau, gajah, monyet, rusa, kambing gurun, dan banyak lagi.

Di sini juga terdapat akuarium yang menempatkan pelbagai jenis spesis ikan antara yang menarik perhatian ialah ikan naga. Kebiasaannya pada hujung minggu terutamanya pada musim cuti sekolah taman ini sentiasa penuh dengan para pengunjung samada yang datang dari dekat atau jauh.

Di dalam taman ini juga disediakan mini bas untuk membawa pengunjung mengelilingi taman ini sambil melihat binatang-binatang yang ada di situ. Apa yang menarik dan membuatkan penulis begitu kagum dan teruja ialah jambatan gantung.


Satu lagi keistimewaan taman ini ialah aktiviti bergajah. Sesiapa yang ingin merasai pengalaman menaiki gajah bolehlah datang ke taman mini zoo ini. Para pengunjung hanya dikenakan bayaran sebanyak RM20 (dewasa) dan RM10 (kanak-kanak) dan akan dibawa mengelilingi zoo ini. Yang pasti ia akan menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan.

Tarikan lain yang terdapat di Mini Zoo Kemaman ialah taman herba semulajadi, taman tumbuhan tropika, taman bonsai, taman orkid dan pelbagai jenis burung. Anda bolehlah bercuti bersama keluarga dan membawa anak-anak untuk mengisi masa dengan berkunjung ke taman mini zoo ini.
No comments:
Post a Comment