Laman Utama

Wednesday, May 12, 2010

Ceritera 4 : Menyingkap Sejarah Replika di Taman Monumen


Di Taman Tamadun Islam ini terdapat satu taman yang dikenali sebagai Taman Monumen. Untuk pengetahuan anda perkara menarik yang terdapat di taman monumen ini ialah terbinanya 21 binaan yang terdiri daripada replika masjid, monumen dan tugu.

Pintu masuk Taman Monumen

Untuk masuk ke taman ini bayaran hanya dikenakan sebanyak RM10 sahaja untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak dan warga emas (lebih drpd 60thn) RM5 manakala bagi pelancong luar negara atau bukan warganegara bayaran yang dikenakan hanya RM20.

Selepas membuat bayaran pengunjung akan diberikan satu buku kecil yang dinamakan 'Passport'. Pada 'Passport' ini disertakan beberapa gambar dan maklumat ringkas mengenai monumen-monumen yang ada dalam taman ini. Bagi penulis bayaran yang dikenakan amat bersesuaian dan berbaloi dengan apa yang akan kita perolehi apabila memasuki taman ini.


Di dalam taman ini terdapat banyak monumen yang terkenal dan popular daripada pelbagai negara di seluruh dunia termasuk Malaysia sendiri. Antaranya ialah Masjid Negara (Malaysia), Masjid An-Nabawi (Arab Saudi), Masjid Xian (China), Taj Mahal (India), Masjid Sheikh Lutfalla (Iran), Masjid Qairawan (Tunisia), Tugu Kompleks Suleyman (Turki), Menara Kalyan (Uzbekistan) dan banyak lagi.


Masjid Mohamed Ali, Mesir

Apabila berkunjung ke taman ini, para pengunjung dapat melihat lebih dekat struktur binaan bagi setiap monumen yang berkonsepkan keislaman dan dapat mengetahui secara terperinci mengenai sejarah silam ataupun penerangan yang lebih jelas mengenai setiap monumen agung yang ada disini. Malah tayangan video juga disediakan di sesetengah lokasi monumen supaya para pengunjung dapat memahami dan mengenali setiap monumen dengan lebih jelas.

Masjid Kul Sharif,Kazan,Rusia

Di taman ini juga para pengunjung boleh menaiki trem (RM3), sewa basikal (RM3), dan buggy (RM35 &RM45).
Apabila penulis pertama kali menjejaki taman ini perasaan teruja dan tidak sabar semakin menggunung. Dengan kelihatan pelbagai jenis binaan yang pelbagai bentuk dan ukiran merasakan betapa bertuahnya diri ini kerana dapat meluangkan masa melawat taman ini. Walaupun ia hanyalah monumen tapi binaannya tetap sama dan utuh seperti yang asal. Betapa kagumnya sehinggakan penulis merasakan seperti berada di negara lain dengan dikelilingi monumen-monumen tersebut.


Menara Kalyan Minaret,Uzbekistan

Penulis begitu kagum melihat monumen-monumen yang ada samada masjid atau pun menara. Ia begitu unik dan penuh makna. Bagi penulis setiap monumen yang tersergam indah itu mempunyai keistimewaan tersendiri dan sekaligus menunjukkan asal terbinanya binaan tersebut di negara-negara yang terlibat.

Bagi penulis yang menetap di negeri ini masih belum puas untuk berkunjung semula ke taman ini. Sampai ketika ini sudah tidak terkira banyaknya penulis berkunjung ke taman ini. Anda bolehlah berkunjung ke taman ini untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta.



No comments:

Post a Comment