Laman Utama

Wednesday, June 30, 2010

Ceritera 72 : Peminat Golf ke Kelab Goft Bukit Besi

Kalau anda adalah penggemar permainan golf, anda bolehlah mengambil peluang untuk ke Kelab Goft Bukit Besi, Dungun dan jarak dari Dungun lebih kurang 30km. Selain padang golf yang begitu luas, di sekitar kawasan ini juga terdapat penginapan untuk para pengunjung.

Di sekitar Kelab Golf Bukit Besi :






"Marilah pakat gi Bukit Besi"



Ceritera 71 : Apa Ada diTasik Puteri Bukit Besi

Tasik Puteri terletak di Bandar Bukit Besi Dungun. Apa yang menariknya Tasik Puteri? Airnya yang kebiruan dan tenang adakala diiringi tiupan angin yang mendamaikan pasti membuatkan perasaan anda teruja untuk melihat keindahan tasik ini. Tasik ini adalah tasik buatan manusia yang dihasilkan daripada peninggalan lombong bijih besi.


Tasik Puteri Bukit Besi terletak kira- kira 100 km dari Kuala Terengganu dan 200 km dari Kuantan menggunakan Jalan Jerangau – Jabor. Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk masuk ke tempat rekreasi ini.


Buat pengetahuan tasik ini sememangnya menjadi tumpuan orang ramai untuk bermandi-manda dan berehat bersama keluarga atau teman-teman. Dengan air terjun yang memutih dan menyejukkan sudah pasti memberi keseronokan kepada para pengunjung untuk bermandi-manda.


Selain menjadikan lokasi ini sebagai tempat mandi-manda, tarikan lain yang ada di sini ialah permainan air iaitu kayak dan bot kayuh. Di sekitar kawasan ini juga terdapat kedai makan, taman permainan dan pondok rehat untuk kemudahan para pengunjung. Sambil berehat di pondok yang disediakan para pengunjung boleh menikmati suasana tasik dan melapangkan fikiran.





Di tebing sebelah barat tasik ini terdampar indah padang yang menghijau iaitu sebuah kawasan padang golf dikenali sabagai Tasik Puteri Golf Club.


Jadi apa lagi jom kita ke Tasik Puteri Bukit Besi.


Ceritera 70 : Tenangkan Hati dan Fikiran di Pulau Lang Tengah




Pulau Lang Tengah juga merupakan pulau yang menjadi tumpuan samada para pengunjung dari dalam dan luar negara. Pulau ini adalah pulau kecil yang terletak di antara Pulau Perhentian dan Pulau Redang iaitu di Setiu, Terengganu. Untuk ke sini para pengunjung boleh ke jeti Merang dan mengambil masa lebih kurang 30minit untuk sampai ke sini.



Pulau ini sememangnya dikelilingi hutan tropika dan ia amat sesuai untuk aktiviti
jungle tracking.Yang paling popular ialah aktiviti skuba dan snorkelling. Banyak juga program atau kursus yang diadakan di pulau ini seperti kursus skuba. Jika anda berminat untuk melakukan aktiviti skuba bolehlah datang ke sini.


Manakala restoran yang ada di sekitar pulau ini ialah seperti Blue Coral Island Resort Restaurant , D' Coconut Lagoon Restaurant dan banyak lagi. Untuk menjadikan hari yang paling indah di pulau ini para pengunjung boleh menikmati hidangan di kafe yang menghadap lautan sambil melihat pemandangan matahari terbenam. Sudah tentu kenangan ini tidak akan dilupakan.

Banyak penginapan yang disediakan di pulau ini antaranya ialah D'Cocunut Resort. Dengan pasir pantai yang putih dan dikelilingi pokok-pokok kelapa diiringi angin yang bersepoi-sepoi sudah pasti dapat memukau para pengunjung untuk menginap lebih lama disini. Kalau anda adalah dari golongan yang belum pernah berkunjung ke pulau ini, jangan lengah-lengahkan. Mulakan percutian anda dengan berkunjung ke pulau ini.


Tuesday, June 29, 2010

Ceritera 69 : 'Relax' di Taman Waterfront Terengganu


Taman Waterfront terletak di bandar Terengganu dan juga tidak jauh dari Hotel Seri Malaysia Terengganu. Para pengunjung boleh berehat dan bersantai bersama keluarga sambil menikmati keindahan Sungai Terengganu. Di sini juga terdapat taman permainan untuk anak-anak bersukaria. Kemudahan lain yang disediakan seperti pondok rehat, surau dan tandas.




Para pengunjung boleh ke sini untuk mengisi masa yang terluang.


Ceritera 68 : Ketahui Sejarah Silam Dungun di Muzium Daerah Dungun

Jom ke Muzium Daerah Dungun yang terletak di Pantai Teluk Lipat, Dungun dan dibuka pada hari Sabtu hingga Khamis dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Masuk adalah percuma. Jadi apa lagi jangan lepaskan peluang ini.


Mengikut sejarah, pada asalnya bangunan ini merupakan kediaman rasmi pegawai daerah tetapi kini dijadikan sebuah muzium dan ia telah dibina pada tahun 1941. Bagi penulis sendiri bangunan ini amat unik dan menarik setanding dengan usia bangunan yang telah dibina sekian lama.




Pelbagai khazanah dan artifak dipamerkan di muzium ini antaranya ialah Bijih Besi, seramik Kapal Karam Portugis, artifak dari kapal Wanli lain-lain lagi. Jika anda semua ingin tahu lebih dekat lagi mengenali tinggalan dahulu dan sejarah Dungun, datanglah ke sini.


Monday, June 28, 2010

Ceritera 67 : Berseri-seri Hotel Seri Malaysia Kuala Terengganu


Jika anda datang ke bandar Terengganu dan masih runsing memikirkan mengenai penginapan yang ada di sekitar bandar ini, anda tidak perlu bimbang kerana terdapat banyak hotel penginapan yang disediakan untuk para pengunjung. Antaranya ialah Hotel Seri Malaysia Kuala Terengganu yang terletak di Jalan Hiliran (Balik Bukit) dan berhampiran dengan Sg. Terengganu. Lokasinya yang berdekatan dengan bandar akan memudahkan anda untuk bergerak di sekitar bandar antaranya Pasar Besar Kedai Payang, Chinatown, Bazaar Warisan dan banyak lagi.


Hotel ini sememangnya sesuai untuk berehat seisi keluarga malah boleh melakukan perkara aktiviti sampingan iaitu memancing atau menaiki bot. Kemudahan yang disediakan oleh hotel ini seperti bilik mesyuarat dan seminar.

Ia juga sesuai dijadikan lokasi untuk melakukan program atau bengkel. Kalau anda ingin kelainan, anda boleh ke Hotel Seri Malaysia Kuala Terengganu.


Ceritera 66 : Kelip-kelip di Sg.Yak Yah

Kelip-kelip atau kunang-kunang sememangnya jarang ditemui. Tetapi di daerah Kemaman terdapat satu kawasan yang terkenal dengan adanya kelip-kelip iaitu 5km dari Taman Mini Zoo Kemaman iaitu di Sg.Yak Yah.


Untuk melihat kelip-kelip, para pengunjung boleh ke sini pada waktu malam dengan menaiki bot yang disediakan untuk menyusuri sungai sambil melihat kelip-kelip disekeliling. Sememangnya banyak kelip-kelip akan muncul di sekitar kawasan ini. Selain bot kemudahan lain yang disediakan ialah surau, tempat rehat dan tandas. Jadi kalau anda rasa nak tengok kelip-kelip datanglah di Sg.Yak Yah, Kemaman.


Ceritera 65: 'Shopping' di Mesra Mall

Kebetulan anda bercuti ke Kemaman ataupun anda melalui jalan dari Kemaman ke Terengganu atau sebaliknya, sampai sahaja di Bandar Kerteh, Kemaman anda bolehlah singgah di Mesra Mall untuk membeli-belah. Pelbagai jenis barangan dijual di Mesra Mall antaranya barangan runcit, pakaian, kasut, aksesori dan sebagainya. Di sini juga terdapat kedai seperti restoran, BIG APPLE, PIZZA HUT, BURGER KING, ROTIBOY dan banyak lagi.

*Di sekitar Mesra Mall







*DATANG LAH*


Sunday, June 27, 2010

Ceritera 64 : Suasana Damai di Angullia Beach House Resort Marang


Angullia Beach House Resort Marang adalah salah satu resort yang terdapat di Rhu Muda, Marang. Ia terletak berhampiran dengan Pantai Peranginan Kelulut dan jarak dari bandar lebih kurang 17km. Jika para pengunjung ingin menginap mana-mana resort di Marang, bolehlah datang ke sini.

Kawasannya yang strategik dan menarik semestinya sesuai untuk seisi keluarga. Para pengunjung boleh memilih lokasi penginapan bersesuaian dengan citarasa. Selain berehat dan bersantai, para pengunjung boleh mandi-manda di pantai yang berhampiran dan bermain permainan pantai. Pelbagai kemudahan juga disediakan disini antaranya pondok rehat, tempat 'BBQ', taman permainan, surau, kedai cenderahati dan dewan besar.


Kemudahan

Malah terdapat kafe yang diberi nama 'Vohras Deck' yang disediakan untuk para pengunjung. Lokasinya yang menghadap lautan diiringi angin yang bersepoi-sepoi semestinya para pengunjung dapat menikmati suasana yang nyaman. Di resort ini juga menjadi pilihan orang ramai untuk mengadakan pelbagai jenis program antaranya hari keluarga, bengkel atau seminar. Yang pasti pilihan anda datang ke sini berbaloi-baloi. Untuk keterangan lanjut anda boleh melayari laman web Angulia Beach House Resort Marang.


Ceritera 63 : Festival Gamelan Sedunia 2010


Tidak lama lagi satu festival akan diadakan di Dataran Shahbandar, Terengganu yang dinamakan sebagai Festival Gamelan Sedunia akan berlangsung pada 23 hingga 25 Julai dan merupakan festival gamelan kali kedua diadakan di Terengganu ini.


Ia disertai oleh 14 kumpulan daripada pelbagai negara antaranya dari Eropah, Indonesia, Jepun dan juga peserta tempatan malah ada juga kumpulan golongan pelajar ipta iaitu Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Dengan adanya festival ini sekaligus menjadi medan pertemuan antara kumpulan gamelan daripada pelbagai negara untuk mengenali antara satu sama lain. Secara langsung festival ini akan menjadi medan untuk mengetengahkan muzik tradisional ke peringkat antarabangsa dan dikenali oleh seluruh pelosok dunia. Orang ramai juga dapat mengenali dengan lebih dekat lagi mengenai dunia gamelan.


Di samping itu, sepanjang festival ini diadakan bengkel turut diadakan antaranya ialah bengkel alat muzik gamelan Jawa, Melayu dan Bali kepada pemuzik-pemuzik gamelan. Muzik Gamelan telah wujud sejak sekian lama. Muzik-muzik yang dimainkan adalah bertemakan tradisional mengikut budaya masing-masing. Antara alatan muzik yang digunakan ialah Gong Agung, Gong Sawokan, Gendang Ibu dan banyak lagi. Kedatangan anda semua amat dialu-alukan untuk memeriahkan suasana.


Ceritera 62 : Menikmati Suasana Pantai Batu Buruk

Kalau anda ke Terengganu jangan lupa singgah di Pantai Batu Buruk. Pantai ini berdekatan dengan Hospital Sultanah Nur Zahirah dan sememangnya menjadi tumpuan orang ramai untuk berehat dan bersantai malah pelbagai festival atau program sering diadakan sepanjang tahun seperti AutoShow, pameran, ekspo dan sebagainya.


Sambil menikmati suasana pantai, pelbagai aktiviti menarik boleh anda lakukan antaranya bermain layang-layang, barbeku, dan menunggang kuda. Di sekitar kawasan ini juga terdapat taman permainan, bangku rehat, gerai dan kedai makan, KFC dan A&W. Jika anda datang dari jauh, di sekitar pantai ini juga terdapat banyak penginapan yang disediakan antaranya Hotel Grand Continental, Batu Buruk Beach Resort, Primula Beach Resort dan banyak lagi. Para pengunjung juga boleh menaiki mana-mana kenderaaan awam seperti bas dan teksi untuk datang ke sini.




Buat pengetahuan, pantai ini juga sentiasa menjadi lokasi orang ramai pada bulan Ramadhan untuk berbuka puasa bersama keluarga dan teman.-teman. Beralaskan tikar, bersuasanakan lautan yang terbentang luas diiringi angin yang bersepoi-sepoi semestinya anda dapat menikmati suasana yang damai ketika berbuka. Kalau anda tidak percaya cubalah datang ke sini nanti. Penulis dan keluarga juga sudah beberapa kali mengambil kesempatan untuk berbuka di pantai ini. Jadi apa lagi jom kita bersantai di Pantai Batu Buruk.


Saturday, June 26, 2010

Ceritera 61 : Persinggahan di Dataran Shahbandar

Hujung minggu baru-baru ini pada malam hari penulis sekeluarga sempat singgah di Dataran Syahbandar. Ketika itu satu ekspo jualan diadakan di dataran ini. Pelbagai aneka barangan dijual antaranya pakaian, selipar, tudung, barang mainan dan banyak lagi. Keriuhan di tapak ekspo ini ditambah pula dengan kunjungan orang ramai untuk berehat dan bersantai bersama keluarga dan teman-teman sambil menonton skrin layar yang baru disediakan.


Buat pengetahuan satu tarikan baru di dataran ini ialah skrin layar yang disediakan oleh kerajaan Terengganu supaya dataran ini sentiasa meriah dengan kunjungan sekaligus dapat membendung gejala yang tidak sihat dan tidak bermoral seperti masalah rempit. Jadi dengan adanya skrin ini para pengunjung daripada pelbagai golongan boleh mengisi masa dengan menonton siaran di skrin ini sambil berehat.

Skrin layar ini baru sahaja dibina dan mula beroperasi sejak bermulanya perlawanan bola FIFA World Cup 2010. Selain itu para pengunjung juga boleh menonton pelbagai program seperti di rumah anda malah kemudahan ASTRO juga disediakan.


Bagi pendapat penulis, dengan kewujudan ini suasana baru di bandar Terengganu dapat menarik warga setempat dan para pelancong untuk berkunjung ke sini. Penulis sendiri dapat merasai keindahan dan kemeriahan malam apabila berada di sini. Jadi kalau anda rasa nak kelainan daripada yang biasa, apa lagi jom ke Dataran Shahbandar. Anda nak membeli boleh, nak 'relax' boleh, nak tengok bola atau siaran lain kat skrin layar pun boleh.



Ceritera 60 : Bercuti di Pulau Redang


Apa kata cuti nanti anda ke Pulau Redang samada bersama keluarga atau teman-teman. Pasti percutian anda kali ini tidak membosankan. Pulau Redang juga merupakan pulau yang menjadi tumpuan para pengunjung di Malaysia dan pelancong asing. Kalau anda merancang ingin ke Pulau Redang pada hujung minggu terutamanya cuti sekolah, cepat-cepatlah 'booking' ataupun nak senang pilih mana-mana pakej yang ditawarkan. Kalau lambat, nampak gaya anda takkan sampai ke pulau ini. Anda boleh layari laman web Pulau Redang.


Pulau redang merupakan pulau terbesar daripada 9 buah pulau lain yang berdekatan antaranya Pulau Pinang, Pulau Kerengga, Pulau Lima, Pulau Ekor Tebu, Pulau Ling dan banyak lagi. Perairan di sekeliling pulau-pulau ini yang dikenali sebagai Taman Laut Pulau Redang kaya dengan pelbagai jenis hidupan laut yang cantik dan menarik.



Untuk ke Pulau Redang para pengunjung boleh terus ke Jeti Merang, Setiu. Jika para pengunjung menaiki bot laju perjalanan mengambil masa lebih kurang 1 jam. Para pengunjung juga boleh ke Jeti Shahbandar untuk ke pulau ini. Selain itu perkhidmatan feri juga disediakan.

Seperti pulau-pulau lain, pulau ini juga mempunyai kelebihan dan keistimewaannya. Dengan air laut yang jernih dan biru serta pasir pantai yang halus dan putih semestinya membuatkan anda teruja untuk tinggal lebih lama disini. Selain bermandi-manda pelbagai aktiviti boleh dilakukan antaranya snorkelling, jungle tracking, scuba, boating, berenang, memancing, golf (kawasan khas) dan banyak lagi.


Para pengunjung juga boleh memilih mana-mana resort yang disediakan berdasarkan lokasi dan citarasa para pengunjung. Antaranya ialah Berjaya Redang Beach Resort, Coral Redang Island Resort, Laguna Redang Island Resort, Redang Bahtera Resort dan Ayumayang Redang Island Resort.



Kunjungan anda ke sini buat kali pertama semestinya membuatkan anda untuk datang bercuti buat kali seterusnya. Pasti anda akan pulang dengan penuh kenangan indah yang sentiasa mekar di ingatan.