Laman Utama

Saturday, June 12, 2010

Ceritera 34 : Meneroka & Bermandi-manda di Hutan Lipur Chemerong


Kali ini penulis ingin berkongsi mengenai satu tempat yang amat menarik iaitu Hutan Lipur Chemerong yang terletak di Pasir Raja, Dungun dan ia juga merupakan salah satu kawasan perkelahan yang ada di daerah Dungun. Hutan lipur ini terletak lebih kurang 30km dari Bandar Al-Muktafi Billah Shah iaitu tempat tinggal penulis dan semestinya penulis dan keluarga sering ke sini. Jarak dari Kuala Terengganu pula lebih kurang 100km sahaja. Biasanya penulis dan keluarga akan ke sini pada hujung minggu untuk berkelah dan bermandi-manda.


Lokasinya yang dipenuhi hutan rimba dan air yang jernih serta sejuk akan membuatkan para pengunjung leka sekaligus dapat merehatkan diri daripada pelbagai perkara. Sebelum sampai di Hutan Lipur Chemerong ini semestinya para pengunjung akan terpukau dan kagum kerana dapat melihat air terjun yang memutih turun menyusuri dari atas bukit. Kali pertama penulis memandang perasaan teruja dan kagum mula membuak-buak. Begitulah betapa indah ciptaan-Nya.




Air terjun ini mempunyai banyak peringkat dan kebiasaannya golongan remaja dan dewasa lebih berminat ke tempat yang lebih tinggi untuk menikmati pemandangan dan bermandi-manda. Untuk lebih selamat penulis sarankan para pengunjung yang membawa keluarga serta anak-anak boleh berkelah dan bermandi-manda di kawasan bawah sekali. Airnya yang tenang akan membuatkan para pengunjung sekeluarga dapat menikmati keseronokan berkelah pada kunjungan kali ini.

Di sini juga terdapat pelbagai kemudahan seperti bilik persalinan, surau, tandas dan sebagainya. Selain itu disediakan kawasan perkhemahan dan kepada para pengunjung yang berminat untuk meneroka hutan rimba ini juga disediakan pemandu arah selaku petunjuk arah dan memberi maklumat yang berkaitan.

Beberapa gerai makanan dan minuman juga ada di sekitar kawasan ini. Para pengunjung yang datang dari jauh pula tidak perlu risau mengenai penginapan kerana terdapat tempat untuk menginap di sekitar kawasan ini. Sesiapa yang belum pernah berkunjung ke sini bolehlah mula merancang untuk ke sini dan sudah pasti anda tidak akan menyesal malah pulang dengan keseronokan dan penuh kenangan.


No comments:

Post a Comment